No products in the cart.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, industri pakaian terpakai atau lebih popular di kalangan masyarakat dengan istilah ‘bundle‘ telah bertapak di Malaysia sejak awal 1970an. Sejak dari itu permintaan kepada pakaian terpakai meningkat saban tahun.
Walaupun majoriti dari barangan tersebut dieksport semula ke negara-negara jiran dan lain-lain oleh pengilang, namun sedikit sebanyak kita merasa juga tempiasnya. Dapatlah juga item-item best waktu menyelam atau pecah guni dahulu. Sekarang? Dengar cerita ada yang mengeluh pisang. Ada juga yang tetap maintain terima supply yang berkualiti. Banyak faktor yang memainkan peranan.
Sejak kehadiran revolusi internet dan telefon pintar sekitar 4 ke 5 tahun lepas, boleh dikatakan peningkatan dari segi permintaan terhadap bekalan pakaian terpakai meningkat dengan mendadak. Di zaman serba canggih ini, sesiapa sahaja boleh menjadi peniaga dan barangan juga lebih mudah untuk terjual. Anda hanya perlu ada Cimb Click atau Maybank2u, dan ya sudah tentulah perlu ada satu platform yang selamat dan terjamin seperti Lokein. Dalam masa beberapa saat sahaja selesai urusan pembelian.
Mungkin ramai yang tidak tahu tetapi Malaysia merupakan antara pengimport terbesar pakaian terpakai di dunia. Dahulu mungkin bundle lebih sinonim dengan pasar malam atau baju lusuh sahaja tetapi sebenarnya ia telah membentuk menjadi satu industri yang berkembang pesat. Mari kita lihat secara terperinci tentang hal ini.
Statistik dari United Nations menunjukkan nilai dagangan dunia untuk pakaian terpakai menunjukkan peningkatan dari USD1.8 billion pada tahun 2006 ke USD3.7 billion pada tahun 2016, iaitu peningkatan sebanyak 106%. Berbanding barangan baru, nilai dagangan pakaian terpakai ternyata meningkat 2 kali ganda.
Antara negara pengeksport utama pakaian terpakai di dunia adalah United States, United Kingdom, Germany, Jepun dan juga Korea. Bagi negara pengimport pula Pakistan menduduki carta teratas bagi tahun 2017 dengan nilai dagangan berjumlah USD236 juta diikuti oleh Malaysia dengan nilai dagangan berjumlah USD154 juta daripada jumlah dagangan keseluruhan USD3.79 billion.
Jepun merupakan negara pengeksport utama ke Malaysia dengan nilai import sebanyak USD69.9 juta pada tahun 2017 diikuti South Korea dengan nilai import sebanyak USD28.9 juta setahun. Kita hanya mengimport sebanyak 4.2% sahaja dari United States iaitu berjumlah USD6.49 juta setahun pada 2017. Malaysia juga menerima bekalan import dari negara-negara lain seperti Australia, Filipina, Pakistan, China, United Arab Emirates dan lain-lain.
Jika diperhatikan dari statistik diatas, boleh dikatakan industri pakaian terpakai ini akan kekal relevan dalam tempoh masa yang panjang di Malaysia. Keseimbangan supply & demand seiring dengan kemudahan teknologi sedia ada merancakkan lagi pertumbuhan. Jelas sekali pakaian terpakai atau bundle bukan sekadar kain lusuh yang hanya layak menjadi picisan yang hanya di cari oleh orang kurang berkemampuan atau pekerja asing. Trend fesyen di negara barat banyak memberi kesan secara langsung kerana boleh dikatakan kebanyakan item yang mempunyai high demand masih boleh didapati bekalannya disini.
Fenomena jualan online juga banyak membantu para peniaga dari generasi awal untuk terus kekal berada didalam industri. Hampir majoriti pemilik perniagaan atau peniaga sambilan menjual secara online di media sosial dan juga di platform-platform tempatan mahupun antarabangsa. Ini kerana terdapat jenis item yang ada di sini boleh dijual dengan harga yang lumayan pada pelanggan dari luar negara.
Kita juga harus berbangga dengan lahirnya usahawan-usahawan tempatan yang kini menjadi pengimport utama pakaian terpakai dari luar. Nama-nama seperti FF Mercu Niaga, NCT Trading, Chong Tee dan banyak lagi merupakan syarikat-syarikat yang telah membina empayar perniagaan berasaskan pakaian terpakai. Malah, kebanyakan dari mereka telah bergelar jutawan di usia muda. Syabas anak Malaysia!
1 Comment