No products in the cart.
Penulisan oleh penulis jemputan Ali Gaban
Perkataan yang sangat sinonim di masa dulu, kini dan selamanya di masyarakat Malaysia. Tertuju kepada penggemar barangan terpakai. Makna perkataan tersebut sahaja memang sudah membawa erti ‘terpakai’.
Bundle lebih merujuk pakaian yang diperoleh dari ketulan ‘bale’. Preloved merujuk kepada barangan persendirian yang dijual secara terus. Vintage merujuk kepada barangan berumur 15 tahun kebelakang mengikut tahun terkini.
Ada yang menjadikan ianya sebagai sumber mencari rezeki, ada yang menjadikan sebagai hobi, ada yang menjadikan sebagai cabang untuk berjimat cermat di dalam perbelanjaan dan pelbagai lagilah perkara yang dimanfaatkan dari barangan terpakai.
Barangan terpakai sahaja terpecah kepada banyak segmen. Hampir keseluruhan keperluan harian tersedia. Dari pakaian, perabot, perkakasan dapur, permainan, alat muzik, alat elektrik, bahan bacaan, barang permotoran dan pelbagai lagi. Asal saja ianya barang terpakai tergolonglah dalam ruang lingkup yang sama.
Yang hendak difokuskan disini adalah segmen pakaian. Terdapat pelbagai kisah di dalam segmen tersebut yang telah mewarnai industri dunia terpakai di Malaysia. Bermula di kaki lima pinggir jalan hinggalah menyebabkan Malaysia popular di persada dunia. Peminatnya tidak pupus ditelan zaman.
Ada banyak faktor menyebabkan segmen pakaian ini paling popular dikalangan segmen yang lain. Kerana ianya paling mudah untuk diceburi dan menjadi keperluan asas setiap peringkat umur. Pakaian melambangkan sesuatu di kaca mata manusia. Tidak boleh dinafikan sama sekali. Lihat saja golongan bangsawan, lihat saja golongan marhaen. Pasti ada perbezaan dari segi pemakaian. Itu merupakan salah satu titik mula. Permulaanya datang dari pelbagai arah. Ada pengaruh dari muzik, ada pengaruh dari fesyen, ada pengaruh dari keluarga.
Ada apa dengan sehelai baju?
Ada apa dengan sehelai seluar?
Ada apa dengan sepasang kasut?
Terbit dari seketul ‘bale’, tergantung di penyangkut baju kedai bundle, tersusun rapi di rak kasut kedai. Ada dari jenama terkenal, ada dari jenama kebiasaan. Semua perkara tersebut dikaji oleh penggemar seperti mengkaji saham. Apa barang yang mempunyai permintaan tinggi waktu kini, apa barang yang boleh disimpan untuk masa akan datang. Setiap barang dan jenama ada pasang surutnya. Setiap pemain tidak mahu ketinggalan samada penjual atau pemakai.
Yang akhirnya menjadikan ia suatu kegilaan. Berhabis wang ringgit samada menguntungkan atau merugikan, ianya terus menjadi tanda tanya.
Saban hari industri ini terus subur dengan pelbagai cara yang sesuai ianya berkembang. Dari medium jualan online di media sosial. Bertumbuh subur pasar karat di merata tempat. Ianya seperti mendapat sokongan positif masyarakat dalam tidak sedar. Apa yang pastinya, ianya membantu dalam penjimatan masyarakat berbelanja dalam mendapatkan barangan yang berkualiti dengan harga mampu milik. Menjadi sumber rezeki kepada peniaga samada meniaga sepenuh masa atau separuh masa.
Mungkin suatu masa ianya mampu menjadi satu sumber pemacu ekonomi negara. Sama-samalah kita lihat.
1 Comment