No products in the cart.
Saya setuju dengan pelbagai pendapat mengenai item FAKE ni. Saya setuju di mana kita tidak perlu mengecam mereka yang menjual atau yang membelinya. Itu hak mereka untuk membeli, mungkin itu sahaja tahap kemampuan yang mereka boleh beli. Yang sebetulnya memang wujud market untuk golongan sebegini, jika tidak Petaling Street tidak akan kekal sehingga sekarang. Sebab apa? Sebab mereka tidak mampu nak beli yang original kerana harga yang agak mahal bagi mereka. Yang menjualnya pula hanya ingin memenuhi keperluan dan permintaan pasaran. Cuma penjual perlu berhati-hati kerana menjual barang-barang tiruan boleh kena cekup, kerana banyak mata memandang lebih-lebih lagi apabila membuat jualan secara live.
Pada sudut pandangan netizen atau golongan penggemar barang berstatus sebegini, bagi yang menjual, asalkan mereka declare dengan betul yang item tersebut adalah bukan original, itu sudah dikira memadai. Ada juga seller yang tidak menggunakan istilah fake sebaliknya menggunakan istilah seperti barang copy, barang copy ori, original copy, item premium, item macam ori, new item like vintage dan sebagainya yang mungkin boleh mengelirukan pengguna. Sebagai pembeli pula, anda berhak bertanya kepada penjual. Sebagai penjual pula, jangan rakus, dan dinasihatkan untuk berterus terang dengan status barang yang dijual. Jangan semborono declare barang vintage sedangkan anda memang tahu barang tersebut ialah item fake. Jika tidak berterus terang, anda dianggap menipu dan boleh diambil tindakan jika laporan dibuat. Perkara ini menjadi isu hangat apabila ada di kalangan penjual yang rakus mengisytiharkan barang yang telah dijual sebagai original atau vintage item.
Terdapat juga kes di mana penjual tersebut memang sejujurnya tidak tahu yang item dijual itu sebenarnya fake. Contohnya, baru-baru ini ada seller up baju Nike Air Jordan Kasut Gantung, tag Steadman 3 kain katanya original tahun 70an. Mengikut penelitian saya, memang saya tahu baju tersebut adalah fake. Dan kenapa saya katakan barang tersebut adalah fake? Kerana suatu masa dahulu pada sekitar tahun 2006-2008 baju baju seperti itu banyak dijual di Krongek Siam. Pada zaman itu, baju-baju ini dijual dengan harga kira-kira dalam 350-450 baht sehelai. Berikutan itu, saya ambil pendekatan untuk Private message penjual tersebut untuk bertanyakan harga item yang dijual. Peniaga mengatakan harganya RM500 dan masih boleh ditawar.
[logichop_block id=”lhr-welcome-cta-block”]
Terkejut mendengarkan harga yang dinyatakan, saya memberi teguran secara baik dengan bertanya samada dia tahu atau tidak bahawa baju yang dijualnya bukan original. Saya juga memohon maaf dan memberi cadangan sekiranya beliau tidak pasti atau tidak percayakan saya, beliau boleh bertanyakan kepada mana-mana ‘player’ Nike atau baju vintage yang lain. Saya juga terangkan kepada beliau yang sebenarnya saya risau beliau akan dikecam jika orang fikir beliau cuba untuk menipu. Nike hanya mengeluarkan Baju Air Jordan Kasut Gantung tu dengan Tag Biru 80an (Blue Tag 50/50), Tag Biru 80an (Blue Tag triblend rayon) atau Tag Nike Japan (awal 90an). Dengan status baju ini, bukan tidak boleh jual, cuma jika dijual dengan harga RM500, ia dikira agak melampau sedikit. Bila diterangkan secara baik, penjual tersebut boleh terima dan dia kata dia akan semak dulu. Selesai satu kes.
Apa yang perlu diikuti oleh pembeli mahupun penjual adalah etika dalam urusan jual beli kerana ia merupakan sunnah Rasulullah saw. Sama juga dalam urusan perniagaan online tidak kira samada baju vintage, bundle mahupun fake ini.
Bab beli murah dan kemudian jual mahal, itu isu lain dan telah pun saya kongsikan penjelasan Ustaz Azhar Idrus mengenai isu ini, ia dibenarkan oleh agama kerana barangan yang dijual bukan barangan keperluan hidup, ia lebih kepada pilihan dan kehendak masing-masing.
Salah satu kelebihan apabila adanya fake item ini, secara automatik item original akan naik dari segi harga dan nilainya. Penjual boleh membuat perbandingan yang ketara semasa membuat marketing jualan untuk pastikan pelanggan lebih yakin membeli barang original mereka. Disamping itu, dengan wujudnya pemakai baju fake ni, ramai orang akan dilihat memakainya, dan sekali gus dapat menarik lebih banyak perhatian orang ramai untuk membelinya, dan mungkin di kalangan orang yang tertarik tersebut terdiri daripada mereka yang mampu, sudah pastinya mereka akan cari yang original. Ini secara tidak langsung dapat memberi marketing dan membuka lebih peluang rezeki kepada seller yang menjualnya.
Bagi golongan-golongan yang suka membeli baju bundle fake atau new item ini, bagi saya biarkan sahaja mereka, tidak perlu kecam, sebaiknya kita support mereka dari segi kita berdoa agar kelak mereka dimurahkan rezeki untuk mampu membeli yang original. Perbezaan paling ketara antara membeli item fake dan original ialah KEPUASAN dalam hati. Anda semestinya tidak boleh menipu hati dan diri sendiri. Bayangkan anda biasa memakai baju harga RM28, kini mampu pakai yang berharga RM280, lepas tu RM2800 dan sekiranya mampu lagi, silap-silap baju harga RM28k pun anda boleh beli dan pakai. Bayangkan bagaiman perasaan itu. Sekali lagi, ini bukan paksaan, tiada siapa memaksa anda untuk membeli atau menjual. Beli dengan jiwa, jual dengan hati, maka sama-sama kita dapat mencintai hobi dan menghormati hak masing-masing.
[logichop_block id=”welcome-call-to-action-3″]
Pengalaman saya, saya sendiri membeli baju fake. Baru-baru ini saya membeli dalam kuantiti yang agak banyak kerana berkenan dengan print dan designnya yang cantik. Baju keluaran siam ni memang makin lama makin padu kualitinya, sememangnya sekali pandang tidak tumpah seperti original vintage. Untuk pengetahuan semua, suatu masa dahulu wujud stigma dikalangan mat salleh atau westerners di mana mereka enggan menjual barangan kepada golongan Asians terutama dari negara China dan Thailand kerana selepas membeli, golongan ini akan meniru barangan tersebut dan menjual dengan harga jauh lebih murah. Berbalik kepada membeli barangan fake, tujuan saya membeli item tersebut ialah untuk dibuat pakai harian kerana risau jika kerap memakai yang original ia akan rosak atau lusuh dan membuatkan nilainya menjadi kurang. Selebihnya saya beli dan bagi kepada anak-anak buah, sebagai support dan galakan dengan menyatakan kepada mereka bahawa baju ini jika original, harganya mencecah beribu ribu ringgit. Secara tidak langsung membuatkan mereka menyimpan hasrat di dalam hati supaya berusaha untuk membeli yang original suatu hari nanti sebagai hadiah kepada diri sendiri. Jika tidak sekalipun, paling kurang mereka tahu dan cakna berkenaan perkara tersebut. Itu pun sudah cukup memadai.
Kepada sesiapa yang mengecam mereka yang membeli atau menjual barang fake, saya kira tak perlu lah mengecam dengan teruk. Diri kita sendiri tidak lah sehebat mana, kebanyakan kita semua biasa sahaja. Tak perlu salahkan mereka, tak perlu jatuhkan maruah mereka. Jika itu yang mampu mereka beli, dan jika itu sahaja yang mampu mereka jual kerana modal tak berapa banyak untuk beli atau jual yang original, adalah lebih baik kita doakan mereka.
Tak semua orang dilahirkan sebegitu beruntung dibesarkan dalam keadaan mewah dapat beli Baju Supreme terus di Butik, beli Bag LV di butik Pavilion, beli Redwing di butik Pertama Complex, beli seluar Levis di Butik, beli Baju band vintage ribu-ribu ringgit, beli spek Rayban vintage ribu ribu ringgit, pakai topi harga ratus-ratus dan ribu ribu, itu belum masuk jam, cincin, handbag dan sebagainya.
Mungkin mereka sekarang ini bermula dengan item fake, dan harapnya diakhir kelak bila sudah mampu, mereka akan beli yang original dan merasa sendiri kepuasan memiliki dan membeli barang yang asli atau ori atau vintage samada used, mint condition ataupun deadstock/NOS.
Jangan lupa follow Official Online Store saya di Lokein untuk melihat beberapa koleksi barangan vintage untuk dijual di Kimchi Vintage Store
Sekian, salam hormat dan terima kasih.
Yen SK,
Kimchi Vintage Store, Kuala Lumpur
2 Syawal 1441
**info diambil dan digarap dari ambilan perkongsian ilmu dalam internet yang dikongsikan oleh beberapa page, blog dan website. Credit kepada mereka yang telah menyumbang.