No products in the cart.
Produk Minyak Afiat telah diasaskan oleh Allahyarham Haji Panjang Kamarudin pada tahun 1924 yang mana kemudiannya telah diusahakan secara komersial oleh Allahyarham Tuan Haji Khalid bin Uda Ismail. Bermula secara kecil-kecilan beliau telah memperluaskan perniagaannya ke seluruh pelusuk tanahair. Perusahaan Minyak Afiat kemudiannya telah ditukarkan kepada Syarikat Minyak Afiat Sdn. Bhd dengan modal berbayar sebanyak RM 229,000.00 pada tahun 1989. Sehingga tahun 2009, modal berbayar telah ditingkatkan kepada RM 771,000.00 dengan modal dibenarkan sebanyak RM 1 juta.
Setelah ketiadaan Allahyarham Haji Khalid, teraju pengurusan dan pentadbiran syarikat telah diambil alih oleh dua orang anak lelaki beliau. Bermula dari detik penyerahan itu Syarikat Minyak Afiat Sdn. Bhd telah mengorak langkah menuju ke arah pengkorporatan dan meniti jalan mencari arah pasaran di peringkat antarabangsa. Selaras dengan kehendak dan hasrat kerajaan, Syarikat Minyak Afiat telah membina sebuah kilang bertaraf GMP (Amalan Perkilangan Baik) yang mana syarikat ini adalah di antara kelompok pertama syarikat Bumiputera yang memperolehi pengiktirafan tersebut dari Kementerian Kesihatan dalam tahun 1996.
Berbekalkan formula dan ramuan tradisi keluarga, produk-produk syarikat ini telah mampu bersaing dengan produk- produk perubatan moden. Produk keluaran syarikat ini telah dianalisa dan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan dijamin selamat serta bersih untuk digunakan. Lantaran itu juga Syarikat Minyak Afiat telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Universiti Sains Malaysia pada 25 Ogos 1996 bagi memelihara mutu keluaran syarikat secara berterusan.
Di atas kesedaran dan permintaan yang memberangsangkan, syarikat telah mengeluarkan pelbagai jenis produk berasaskan herba dan makanan tambahan tradisional untuk kegunaan semua peringkat umur. Di antara produk-produk Syarikat Minyak Afiat adalah seperti Minyak Afiat, Minyak Hangat Afiat, Set Bersalin Afiat, Air Jamu Bawang Putih dan Jus Halia. Selain itu, syarikat juga ada menghasilkan produk-produk penjagaan diri seperti Gel Mandian, Syampu, Feminine Care, Balm dan Krim Afiat hasil kerjasama dengan SIRIM Berhad.
Sehingga kini Syarikat Minyak Afiat telah memperluaskan pasarannya ke seluruh negara meliputi Hypermarket, farmasi sehinggalah ke pelanggan-pelanggan kecil. Sebagai melebarkan lagi sayap perniagaan, pihak syarikat merancang mengeluarkan lebih banyak produk-produk baru berupa produk kosmetik, produk makanan kesihatan berasaskan herba dan juga produk penjagaan diri bagi memenuhi permintaan dan kecenderungan pengguna yang tinggi terhadap produk sedemikian. Masih merangka kerjasama dengan SIRIM Berhad sebagai sumber penyelidikan dan pembangunan, projek produk-produk baru tersebut diharapkan dapat menyumbang ke arah memajukan lagi industri herba di Malaysia dan di peringkat global.